Tuesday, March 2, 2010

Sejarah Sekolah

Pada tahun 1950, sebuah sekolah melayu telah didirikan dalam kawasan Ladang Ulu Remis, Layang-layang. Sekolah ini untuk anak-anak orang Melayu yang bekerja di Ladang Ulu Remis. Oleh sebab di Pekan Layang-layang pada masa itu tiada sekolah untuk anak-anak melayu, jadi anak-anak Melayu dari kawasan Pekan Layang-layang menumpang belajar di sekolah tersebut memandangkan bangunan sekolah tersebut didirikan berhampiran dengan kawasan Pekan Layang-layang.

Di Pekan Layang-layang pada masa itu hanya ada sebuah sekolah cina yang dibina sendiri oleh penduduk cina sendiri yang mana guru-guru yang mengajar diimport dari negara China. Murid-murid yang belajar di Sekolah Melayu Layang-layang pada masa itu seramai 30 orang dan tenaga pengajarnya seorang guru iaitu Encik Mashrukib.

Di zaman darurat Layang-layang menjadi pusat tumpuan kegiatan pengganas komunis. Kerajaan telah mengistiharkan Layang-layang sebagai kawasan hitam. Orang-orang Cina dan Melayu yang tinggal di kebun-kebun mereka yang berhampiran dengan Pekan Layang-layang telah dipaksa pindah ke Pekan Layang-layang. Satu kawasan New Village diwujudkan dan Pekan Layang-layang telah dipagar kelilingnya.

Oleh sebab kedudukakkan sekolah melayu berada di luar pagar, anak-anak melayu yang tinggal di Pekan Layang-layang tidak dapat lagi meneruskan persekolahnya. Disebabkan orang-orang melayu dan cina telah dipindahkan ke kawasan penempatan perpindahan darurat dan New Village diadakan bagi menempatkan perpindahan orang-orang cina yang tinggal terpencil di sekitar Layang-layang, sekolah cina yang ada pada masa itu juga tidak apat menampung murid-murid cina untuk belajar.

Atas pakatan orang-orang Cina mereka telah mendapatkan satu kawasan baharu untuk mendirikan sekolah mereka. Penduduk-penduduk Melayu juga pada masa itu telah bertambah dan anak-anak mereka tidak dapat lagi menumpang belajar di sekolah yang disedikan oleh Ladang Ulu Remis kerana kawasan Layang-layang telah dipagar dan sekolah di Ladang Ulu Remis telah dirobohkan dan pihak ladang telah mendirikan sebuah sekolah lain yang berhampiran dengan rumah pekerja mereka.

Atas pakatan orang-orang melayu Layang-layang, bangunan sekolah cina yang ditinggalkan itu telah dijadikan sekolah melayu. Jabatan pelajaran Johor telah menghantar seorang guru untuk bertugas di sekolah itu. Guru pertama ialah Encik Mokhtar bin Suib. Jumlah murid pada masa itu adalah seramai 20 orang.

ApabilaSekolah Melayu Layang-layang mula dibuka pada tahun 1952, penduduk Melayu telah mula sedar dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Mulai dari itu, murid-murid mula bertambah dan Jabatan Pelajaran Johor juga mula menghantar guru-guru untuk mengajar.

Pada tahun 1964 sebuah sekolah baharu dibina di satu kawasan yang telah disedikan oleh kerajaan. Pada tahun 1965, semua murid telah berpindah ke sekolah baharu yang lengkap dengankantin dan 6 buah bilik darjah. Pada tahun 1968, sebuah lagi bangunan dua tingkat telah siap dibina. Bangunan baru ini menempatkan pejabat pentadbiran dan bilik-bilik darjah.

Oleh kerana pertambahan murid, pada tahun 1999, sekolah tidak dapat menampung persekolahan satu sesi maka murid tahun 1 dan tahun 2 bersekolah di sekolah petang.

Pada tahun 2001, sekolah telah mendapat bangunan tambahan tiga tingkat yang menempatkan pejabat pentadbiran, pusat sumber, bilik muzik, makmal komputer, bilik mesyuarat, bilik sains, bilik kemahiran hidup serta 6 buah bilik darjah.

Bangunan baru beroperasi pada 2002 dan dengan ini sekolahdapat mengadakan pembelajaran satu sesi pagi sahaja yang menempatkan 16 bilik darjah.